Thursday, November 29, 2012

Dekorasi bagi ruangan sempit atau terhad




Faktor keluasan laman atau ruangan untuk menghias bukanlah satu masalah untuk mengindahkan  sesebuah kediaman. Artikel kali ini ingin memberikan tips sentuhan dekorasi bagi ruangan kecil , di kawasan terhad seperti balkoni, sudut dinding atau kolong udara di apartmen atau kondominium.Pelbagai kaedah untuk menyediakan sebuah ruangan atau laman kecil di balkoni kita.

 Sesetengah kondominium memiliki laman kecil selain balkoni yang boleh dimanfaatkan dengan pergola mini atau mini air terjun. Di samping itu, unsur tanaman boleh dijadikan penghias sampingan, terutamanya tanaman gantung.

Tips: Silap jika anda beranggapan penggunaan pasu saja yang sesuai bagi tujuan bercucuk tanam. Sebaliknya, penggunaan kotak tanaman juga sesuai bagi menanam tumbuhan hiasan mahupun tanaman boleh dimakan serta herba. Meletakkan kotak tanaman di tingkap atau balkoni juga tidak memerlukan belanja dan peralatan yang mahal cukup sekadar kotak tanaman yang dibeli daripada kedai peralatan atau nurseri bunga.

Selain kotak tanaman kayu yang boleh dibina sendiri, mereka yang bercadang meletakkan bekas berkenaan boleh membeli kotak tanaman plastik atau bahan sintetik yang boleh didapati di kedai barang keperluan kebun atau pasar raya.

Pilihan tumbuhan:
Tips: Kita boleh  memilih beberapa jenis tumbuhan daripada dua atau 3 jenis warna dan ulang penanamannya di seluruh taman kecil di balkoni atau jendela anda. Pengulangan ini adalah satu kaedah untuk mendapatkan reka bentuk yang menarik dan tidak terlalu serabut untuk sebuah taman kecil, terutama di balkoni.

Berikut adalah beberapa jenis pilihan tanaman yang sesuai dan cantik:

Daun pudina bagi kotak tanaman
Daun  ini mempunyai bunga  cantik yang dikenali sebagai Salvia yang kecil berwarna garang seperti merah, merah jambu, jingga serta ungu, biasanya mudah ditemui di nurseri pokok. Ciri menarik Salvia adalah pokoknya merimbun dan sesuai diletakkan di serambi tingkap, muka pintu atau di laman.

Selain keindahannya, menanamnya juga mudah:  Untuk menanamnya, pastikan mempunyai sistem saliran yang baik dalam pasu, pastikan tanah yang digunakan bebas masalah rumpai, serangga dan penyakit dan mempunyai nilai pH 5.5 dan 6.5.   Media yang digunakan pula merupakan tanah gambut yang dicampur dengan  pasir dan habuk kelapa. Tanaman ini sesuai ditanam dalam kotak tanaman yang boleh disusun pada birai jendela atau balkoni.

Tanaman gantung 
Tanaman jenis petunia atau  bougenville (bunga kertas), orkid, tanduk rusa dan lain-lain sebenarnya berpotensi untuk digunakan sebagai taman gantung. Petunia amat sesuai untuk kediaman yang mempunyai keluasan terhad dan ia bertambah menarik jika ditanam dalam pasu, sekali gus menyuntik semangat taman.

Tanaman yang berasal dari Amerika Selatan itu mempunyai 35 spesies asal dan kini kebanyakannya dikacukkan bagi menghasilkan petunia yang menarik.

Namun, tanaman yang menjuntai ke bawah merupakan pilihan yang lebih tepat seperti bunga seri pagi atau  daisi gerbera kerana ia mempunyai daya tarikan tersendiri termasuk bunga warna terang dan mudah didapati. Warnanya pula terdiri dari merah, putih, jingga, merah jambu, ungu dan kuning selain menampilkan pelbagai rona lain hasil kacukan.

Tips penjagaan tanaman gantung atau kotak tanaman:
•    Pastikan kedudukan tanaman ini digantung pada ketinggian melebihi paras penglihatan tetapi jangan terlalu tinggi bagi memudahkan penyelenggaraan seperti menyiram dan memangkas dahannya. Jika terlalu tinggi,  akan menjejaskan keindahan pokok itu.

•    Letakkan pokok gantung di kawasan yang mendapat cahaya yang cukup seperti serambi, anjung, tingkap dan pergola.

•    Pastikan titisan air daripada pasu gantung itu tidak merosakkan sebarang objek di bawahnya. Gunakan pasu yang mempunyai piring pelapik bagi mengelakkan air melimpah.

•    Pokok gantung yang berukuran besar mudah mengotori kawasan persekitaran akibat daripada daun dan bunga yang berguguran. Sentiasa buang daun yang layu.

•    Untuk tumbuhan gantung, gunakan campuran tanah yang bersesuaian.

•    Pokok gantung memerlukan air yang banyak ketika cuaca panas. Seeloknya siram dua kali sehari.

•    Pembajaan  teratur dapat memastikan pokok menerima nutrien yang sesuai untuk pertumbuhan cepat.

•    Selalu memeriksa  pokok bagi memastikan simptom serangan serangga atau penyakit.

Sekian semoga mendapat manfaat.

0 comments:

Post a Comment